Wednesday, 15 August 2012

Pasangan kahwin lari mesti daftar semula




Pasangan `kahwin lari' mesti daftar semula


Berita Harian - Bicara kalbu: Pasangan 'kahwin lari' mesti daftar semula

SAYA sudah beristeri, namun jatuh cinta buat kali kedua. Keinginan untuk 'kahwin lari' semakin kuat kerana tidak mendapat restu isteri pertama. Apakah pandangan puan mengenai isu kahwin lari? Bagaimana pula hak isteri dan anak daripada pernikahan ini?
Suami Teringin,
Johor.

Jawapan :

Secara umumnya kahwin sorok-sorok atau lari tidak boleh dilihat secara terpisah daripada isu lain. Ia hanyalah sebahagian daripada gejala penyakit sosial yang membarah dalam masyarakat pada hari ini.

Menurut Islam, institusi keluarga mesti dibina atas tapak akidah kukuh, disusun mengikut acuan syariah yang lengkap dan dihias akhlak Islam yang unggul dan murni.

Oleh itu, dari sudut moral dan tanggapan masyarakat kahwin sorok-sorok dan kahwin lari menjatuhkan maruah diri dan keluarga. Ia akan menjadi sejarah hitam, merosakkan nama, reputasi dan menjadi sebutan hingga ke anak cucu. Sebaiknya, elakkan daripada melakukannya. Apabila terjadi perkahwinan yang sah, sama ada secara sembunyi atau terang-terang, hak dan tanggungjawab tidak boleh dielakkan. Jika ditakdirkan mendapat anak, maka haknya sama dengan anak isteri pertama dalam serba serbinya.

Bagi pernikahan sorok-sorok, mesti disabitkan sah oleh Mahkamah Syariah (didaftarkan semula menurut proses biasa dengan membayar denda).

Isteri bagi pasangan yang berkahwin lari atau sembunyi mempunyai hak yang sama dengan isteri pertama. Ada lapan hak isteri mesti ditunaikan dalam tempoh perkahwinan iaitu:

l) Mahar.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan berikanlah kepada perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya." (Surah an-Nisa', ayat 4)

Ketika Khalifah Umar menganjurkan adanya had mas kahwin, ada seorang wanita tua yang menyanggah. Dan Umar bersetuju dengan pendapat wanita itu, dengan berkata: "Wanita itulah yang benar, Umar yang salah."

Seksyen 21 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan: Mas kahwin hendaklah biasanya dibayar oleh pihak lelaki atau wakilnya kepada pihak perempuan atau wakilnya di hadapan orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu dan sekurang-kurangnya dua orang saksi lain.

Seksyen 57 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan:

Tiada apa juga yang terkandung dalam akta ini boleh menyentuh apa-apa hak yang mungkin ada pada seseorang isteri di bawah hukum syarak terhadap mas kahwinnya dan pemberian kepadanya atau apa-apa bahagian daripadanya apabila perkahwinannya dibubarkan.

2) Nafkah.

Firman Allah yang bermaksud: "Hendaklah orang yang mampu memberikan nafkah mengikut kemampuannya. Barang siapa yang sempit (sedikit)rezekinya, hendaklah memberi nafkah menurut yang diberikan Allah kepadanya.

Allah tidak memberati diri seseorang, melainkan menurut yang diberikan Allah kepadanya. Nanti Allah mengadakan kemudahan sesudah kesukaran." (Surah at-Talak, ayat 7)

Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan:

(1) Tertakluk kepada hukum syarak, mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya

(2) Tertakluk kepada hukum syarak dan pengesahan mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lain apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya; meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut hukum syarak.

3) Perhubungan suami isteri.

Firman Allah yang bermaksud: "Isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang disukai dan sediakanlah amal yang baik untuk diri kamu; dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya pada hari akhirat kelak. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang yang beriman." (Surah al-Baqarah, ayat 223)

4) Perlindungan daripada gangguan/penderaan.

Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan: Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut hukum syarak adalah berhak untuk mendapat suatu perintah membubarkan perkahwinan atas satu atau lebih alasan berikut, bahawa suami menganiayainya, lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan kelakuan aniaya, berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan hukum syarak atau cuba memaksa
isteri hidup secara lucah.

Seksyen 107 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan: Mahkamah berkuasa dalam masa perbicaraan hal ehwal suami isteri masih belum selesai atau pada atau selepas pemberian sesuatu perintah perceraian, fasakh, atau pembatalan, memerintahkan seseorang menahan dirinya dari mengganggu atau menceroboh dengan apa carapun ke atas suami atau isteri atau bekas suami atau bekas isterinya.

5) Keadilan.

Seksyen 128 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan: Seseorang yang tidak memberi keadilan sewajar kepada isterinya mengikut hukum syarak adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya.

6) Membubarkan perkahwinan. Seseorang wanita berhak memohon perceraian dalam beberapa keadaan yang dibenarkan oleh hukum syarak dan diperuntukkan oleh Undang-Undang Keluarga Islam iaitu perceraian dengan talak atau dengan perintah, khuluk atau tebus talak, taklik atau janji, fasakh dan lian.

7) Memiliki harta.

8) Layanan baik dan bimbingan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Berpesanlah kamu terhadap berbuat baik kepada perempuan, kerana sesungguhnya perempuan ini dijadikan dari tulang rusuk yang bengkok.

Sekiranya engkau cuba membetulkannya, ia akan patah, sekiranya engkau membiarkannya, dia akan terus bengkok." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).


Jawapan disediakan peguam cara dan peguam bela, Sazira Abdul Aziz, AJK Wanita JIM Muar. Persoalan lalu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Ayah Kandung VS Ayah Tiri




Ayah Kandung vs Ayah Tiri


Jam sudah menunjukkan hampir pukul 3.00 petang, temujanji yang sepatutnya dijadualkan pada pukul 2.00 petang dengan seorang klien wanita, Puan Z terpaksa dilewatkan memandangkan Puan Z ada urusan lain yang perlu diselesaikan segera.

Kesempatan yang ada tentunya amat berharga. Fail-fail di atas meja menunggu untuk disemak, ditandatangan, diteliti satu per satu dan pelbagai tugasan lagi. Inilah amanah yang dipertanggungjawabkan!

Loceng pintu berbunyi. Staff saya bergegas membuka pintu dan mempersilakan Puan Z dan `suami baru' masuk ke bilik mesyuarat. Semakin ceria dan berseri wajahnya. Puan Z yang saya kenali ialah seorang wanita yang tabah, penuh dengan kelembutan dari segi gerak laku dan percakapan.

Dahulunya, Puan Z ialah ibu tunggal yang mempunyai 5 orang anak yang masih bersekolah menengah dan rendah. Keputusan yang diambil untuk berpisah dengan suami pertama mengundang kemelut perselisihan faham antara keluarga kedua belah pihak. Puan Z cekalkan hati dan teruskan juga keputusan yang telah dibuat memandangkan Puan Z telah melakukan solat istikharah, berjumpa dengan kaunselor (setelah dinasihatkan pengetua kerana Puan Z kelihatan murung dan bersedih hingga menjejaskan penumpuan mengajar) dan Puan Z juga telah berjumpa dengan pakar psikiatri. 

Selama ini, Puan Z bersabar mempertahankan rumahtangga yang dibina memandangkan status dirinya sebagai seorang `ustazah' di sekolah. Ini yang membuatkan Puan Z semakin tertekan, fikiran terganggu dan memberi kesan kepada anak-anak.

`Puan, saya masih ingat nasihat yang diberikan oleh seorang kaunselor. Dia menasihatkan agar saya fikirkan keadaan diri saya yang semakin tidak terurus. Jangan fikirkan masalah suami selepas perceraian. Selama 14 tahun perkahwinan semua bayaran perbelanjaan persekolahan, bil-bil, sewa rumah, makan minum anak-anak, pakaian anak-anak semuanya saya tanggung. Bahkan pakaian hari raya anak-anak pun, saya tidak mampu nak beli sehinggakan ada saudara mara yang simpati yang berikan pakaian terpakai anak-anak mereka untuk dipakai oleh anak-anak saya semasa hari raya. Bab diri saya, tak payahlah nak ceritakan di sini. Sedangkan keperluan anak-anak pun tidak mencukupi, apatah lagi keperluan saya. Kaunselor menasihatkan saya bahawa cukuplah 14 tahun saya bersabar dengan sikap suami yang tidak juga berubah-ubah. Berapa lama lagi saya nak teruskan perkahwinan ini dan nak beri peluang kepada suami? Kaunselor minta saya bayangkan wajah anak-anak saya, seorang demi seorang. Sebak rasanya. Hidup tak seperti anak-anak orang lain. Dah la tak dapat kasih sayang ayah, duit kocek sekolah hari-hari pun ayahnya suruh minta dengan saya. Kaunselor minta saya ambil masa untuk berfikir tentang masa depan yang masih jauh perjalanannya dan jangan risaukan tentang suami. Pandailah suami hidup dengan cara kehidupannya tu. Sekarang fikirkan anak-anak, fikirkan diri saya. Lagi lama saya bertahan dengan perkahwinan ni, beliau takut saya akan terkena penyakit kemurungan yang mana tanda-tandanya telah ada pada diri saya'.

Keputusan berat yang dibuat oleh Puan Z rupanya memberikan sinar bahagia kepada kehidupan anak-anak. Suami baru Puan Z, En X hanyalah seorang drebar lori tetapi kuat pegangan agamanya. Puan Z bermadu kerana En X telah mempunyai seorang isteri tetapi masih belum dikurniakan cahayamata. Anak-anak Puan Z amat manja dengan En X dan memanggil beliau dengan gelaran ayah. En X juga amat menyayangi anak-anak Puan Z dan beliau berusaha bekerja hingga lewat malam untuk menyara pendidikan anak-anak Puan Z, yang sulong menuntut di salah sebuah universiti terkemuka di Indonesia dalam jurusan kedoktoran, nombor dua menuntut di IPT Malaysia dalam jurusan jururawat dan lain-lain masih bersekolah menengah dan rendah. En X tidak lokek untuk memberikan wang belanja setiap kali menziarahi anak-anak Puan Z di asrama. 

Perkahwinan Puan Z dan En X yang dahulunya ditentang oleh seluruh ahli keluarga Puan Z, tetapi kini mengundang ikatan kekeluargaan yang lebih erat dengan sikap tolak ansur dan ambil berat En X terhadap Puan Z dan anak-anak. Hasil dari perkahwinan mereka telah dikurniakan seorang cahayamata perempuan yang baru berusia 2 tahun. Hubungan Puan Z dengan madunya juga baik. En X berusaha untuk bersikap adil kepada kedua-dua isteri, malah keceriaan tampak di wajah En X walaupun penat bekerja menanggung dua buah keluarga.

Hmmm... madu yang manis. 




Syariah Paksi Keadilan

Tuesday, 14 August 2012

Harta Pusaka Menjadi Rebutan?




Harta pusaka menjadi rebutan?



Pengalaman mengendalikan pembahagian harta pusaka memang agak mencabar

.. terutamanya jika hartanya 'sedikit' tetapi warisnya terlalu ramai hingga mencecah ratusan orang dan mempunyai lebihkurang 50 lapis.. meninggal zaman belum merdeka..


.. apabila hartanya 'banyak', anak tiada.. warisnya ramai.. pertikaian berlaku apabila waris 'jauh' (maksudnya di sini waris yang jauh, dapat harta dari 'usul') dapat harta.. waris yang 'dekat' (maksud di sini, yang tinggal sekampung, menjaga si mati, amat rapat dengan si mati dari muda hingga tua dll) tidak mendapat harta..

dan pelbagai lagi rencah kehidupan berkaitan masalah pusaka ini..
ilmu perancangan & pengurusan harta memang amat penting untuk memudahkan urusan pembahagian, mempercepatkan pembahagian harta dan mengelakkan sebarang pertelingkahan, mengelakkan memakan harta batil dll..


Suka di sini untuk saya kongsikan suatu kisah Ibrahim bin Adham sebagai peringatan kita bersama :

Suatu hari selesai menunaikan ibadah haji, Ibrahim bin Adham berhajat untuk ziarah ke Masjidil Aqsa. Untuk bekal diperjalanan dia membeli 1 kilogram kurma daripada seorang peniaga tua berhampiran Masjidil Haram. Ketika kurma itu ditimbang Ibrahim melihat sebutir tergeletak di dalam timbangan. Dia menyangka kurma itu sebahagian daripada yang dibelinya. Lalu Ibrahim memungut memakannya. Kemudian dia berangkat menuju ke Al-Aqsa.

Dalam tempuh empat bulan Ibrahim tiba di Al-Aqsa. Seperti biasa Ibrahim suka memilih tempat beribadah di bawah kubah Sakhra. Dia solat dan berdoa dengan khusyuk sekali. Tiba-tiba dia mendengar dua malaikat berbual-bual mengenai dirinya." Itu, Ibrahim bin Adham, ahli ibadah yang zuhud, warak dan doanya selalu di kabulkan Allah s.w.t." kata salah seorang malaikat itu." Tetapi sekarang doanya ditolak kerana empat bulan yang lalu dia memakan sebutir kurma seorang peniaga tua di Masjidil Haram,"jawab malaikat yang satu lagi.

"Astaghfirullah, jadi selama empat bulan ini ibadahku, solatku, doaku dan mungkin amalanku yang lain tidak di terima oleh Allah s.w.t. kerana sebutir kurma yang bukan hakku itu!" Terkejut Ibrahim mendengar ungkapan malaikat tadi. Dengan penuh penyesalan, dia bergegas ke Makkah menemui peniaga tua itu. Dia ingin meminta dihalalkan kurma yang terlanjur dimakannya dulu.

Sebaik sampai di Makkah, Ibrahim terus menuju tempat peniaga tua itu. Bagaimanapun, dia tidak melihat peniaga tua itu di situ lagi melainkan seorang anak muda yang sibuk melayan orang ramai yang membeli kurmanya.

"Empat bulan yang lalu saya membeli kurma disini daripada seorang tua .Ke mana pak cik tu sekarang?" tanya Ibrahim kepada anak muda itu.

"Sudah meninggal sebulan yang lalu dan saya yang akan meneruskan perniagaannya." jawab pemuda itu.

"Innalillahi wa innailaihi raji un, kalau begitu kepada siapa saya meminta penghalalan?" sambung Ibrahim yang kemudian menceritakan peristiwa yang dialaminya.

"Engkau sebagai waris orang tua itu, mahukah engkau menghalalkan sebutir kurma milik ayahmu yang terlanjur ku makan tanpa izinnya?" pinta Ibrahim.

"Insya Allah, saya halalkan tapi entah dengan saudara-saudara saya yang sebelas orang lagi. Saya tidak berani mewakili mereka kerana kami mempunyai hak waris yang sama ke atas perniagaan ini." jelas anak muda itu.

"Dimana saudara-saudaramu itu tinggal, saya mahu menemui mereka satu persatu." tanya Ibrahim bersungguh-sungguh.

Setelah mengetahui alamat sebelas waris itu, Ibrahim meneruskan perjalanan untuk mendapatkan penghalalan. Akhirnya, setelah berjalan jauh dan menemui sebelas beradik, hajat Ibrahim ditunaikan apabiala kesemua mereka bersetuju menghalalkan kurma milik ayah mereka yang tidak sengaja dimakan itu.

Empat bulan kemudian, Ibrahim bin Adham sudah berada di bawah kubah Sakhra.Dia kembali mendengar perbualan dua malaikat itu.

"Itulah Ibrahim bin Adham yang doanya tertolak akibat termakan sebutir kurma milik orang lain" kata salah satu malaikat itu.

"Oh. tidak sekarang doanya sudah makbul lagi kerana telah mendapat penghalalan dari waris peniaga kurma itu." bisik malaikat yang satu lagi.

Kini, diri dan jiwa Ibrahim sudah ceria serta bersih dari kotoran kurma yang haram itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...