Thursday, 8 March 2012

Syiqaq boleh fasakh perkahwinan


Syiqaq boleh fasakh perkahwinan



Nora dan Azam telah 3 tahun berumahtangga dan masih belum dikurniakan cahayamata. Nora telah memfailkan tuntutan perceraian secara fasakh atas alasan Azam telah tidak menunaikan nafkah batin, kelakuan dan sikap suami yang menyebabkan berlakunya syiqaq serta wujudnya penganiayaan dan dharar kepada Nora.

Kita rujuk kepada firman Allah swt yang melarang para suami menyakiti isteri-isteri yang bermaksud :

`Dan janganlah kamu menyakiti perempuan-perempuan (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik dari apa yang telah kamu berikan kepadanya kecuali apabila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata’

`Dan janganlah kamu pegang isteri kamu dengan maksud memberi mudharat kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka) dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiayai dirinya sendiri’

Azam telah gagal menunaikan hubungan kelamin selama 1 tahun dengan Nora tanpa alasan atau sebab yang munasabah. Azam juga gagal mengemukakan, atas alasan apakah hubungan tersebut tidak boleh diadakan.

Firman Allah swt yang bermaksud : `Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka janganlah kamu terburu-buru (menceraikan), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedang Allah hendak menjadikannya pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)’

Dalam kitab Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah Juzuk ii muka surat 243 Ibn Hazm dipetik sebagai berkata `difarhukan ke atas setiap lelaki untuk bersama (jimak) dengan isterinya dan sekurang-kurangnya berbuat demikian sekali dalam tempoh suci jika mampu. Dan jumhur ulama juga berpendapat sama seperti pendapat ini yang menjadi kewajipan suami apabila tiada keuzuran.

Firman Allah swt yang bermaksud : `kemudian apabila mereka telah bersuci maka datanglah mereka menurut jalan yang diperintahkan Allah kepada kamu’ (Al-Baqarah : 222)

Seterusnya di dalam Seksyen 52 (d) EUUKIS 1984 memperuntukkan bahawa pembubaran perkahwinan dibenarkan atas alasan kegagalan suami menunaikan nafkah batin.

Nora turut menyatakan bahawa sikap dan kelakuan suami telah menyebabkan beliau amat tertekan, wujud dharar dan berlakunya syiqaq.

Di dalam kitab Fiqh al-Islami wa Adillatuhu m.s. 527 menyebutkan bahawa Hakim boleh merungkaikan ikatan sesebuah perkahwinan apabila rumahtangga tersebut berlaku syiqaq atau pergaulan rumahtangga yang buruk. Teks tersebut berbunyi `.. dan dari segi kemudaratan pula suami menyakiti isterinya dengan kata-kata ataupun perbuatan seperti memaki hamun memburukkan peribadi sehingga menjejaskan reputasi memukul sehingga luka atau memaksa melakukan perbuatan-perbuatan yang diharamkan oleh Allah, meninggalkan isteri dan tidak menegurnya tanpa sebab-sebab yang seumpamanya’.

Selanjutnya di dalam Kitab Fiqh Sunnah oleh Sayyid Sabiq menyebutkan keadaan yang dibolehkan untuk memisahkan pasangan suami isteri termasuklah dharar syarie. Dalam mazhab Maliki dibolehkan isteri memohon kepada hakim untuk memisahkan pasangan kerana wujud syiqaq/dharar bagi mengelakkan pertikaian dan supaya tidak menjadikan kehidupan rumahtangga hancur atau pecah belah.

Prinsip `dhirar’ ini telah diterima oleh kebanyakan Negara-negara Islam termasuklah undang-undang keluarga Islam di Malaysia. Jika diteliti dengan lebih mendalam, prinsip pembubaran perkahwinan atau fasakh kerana `aniaya’ atau `dharar’ ini tidaklah disyaratkan penganiayaan atau `dharar’ terhadap tubuh badan sahaja, malahan lebih luas dari itu termasuk enggan bercakap dengan isteri, membelakangkan isteri atau memalingkan muka darinya semasa di katil, mengutamakan memberi layanan kepada perempuan lain dari isteri, memukul dengan pukulan yang menyakiti dan seterusnya dan tidaklah disyaratkan pukulan itu dilakukan berulangkali dan lazim (Dr Ahmad Al-Husary Al-Ahwal Al-Syakhsiyah Maktabah Al-Kulliyyat Al-Azhariyyah 1968, hal 727, Mesir)

Dalam subseksyen 2 EUUKIS 1984 ada didefinisikan sebagai `bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran dan harta benda menurut kebiasaan yang diakui oleh hukum syarak’

Di dalam kes Hairun Mohd Sharif lwn Omar Mohd Noor, mahkamah memberikan huraian berkenaan perkataan `lazim menyakiti’.
A) Perkataan `lazim menyakiti’ di dalam contoh (i) di bawah Seksyen 52(1)(h) tidak bermakna memukul dengan cara fizikal. Di dalam bahasa perundangan, ada perbezaan makna di antara `assault’ dan `battery’. Perkataan `battery’ bermakna memukul dengan cara fizikal, tetapi perkataan `assault’ tidak begitu
B) Perkataan `lazim menyakiti’ hanya relevan di dalam kes penganiayaan berbentuk mental seperti menyakiti hati dan perasaan yang hanya timbul apabila berlaku acap kali dalam satu jangka masa dan oleh itu berkehendakkan `lazim’ atau `habitual’ dibuktikan oleh isteri
C) Apabila penganiayaan berbentuk fizikal, maka memukul, walaupun tidak lazim, mungkin mencukupi untuk membukti suatu penganiayaan terhadap seorang isteri

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...