Wednesday 21 March 2012

FAQ Keganasan Rumahtangga


Assalamualaikum buat semua pengunjung PesonaSyariah!

FAQ Keganasan Rumahtangga disediakan sebagai info ringkas kepada masyarakat awam berkenaan isu-isu penderaan terhadap wanita khususnya yang berlaku di dalam rumahtangga.

Bahtera rumahtangga yang dilayari dilanda badai dan ombak kehidupan. Bukan sedikit berita yang dipaparkan di dada akhbar berkenaan isu keganasan rumahtangga dan penderaan ke atas kaum hawa sama ada dari segi mental, fizikal dan emosi.

Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada JKM dari tahun 2006 sehingga Jun 2011 adalah sebanyak 2,986 kes. 

Bagi tahun 2006 negeri yang paling banyak mencatatkan kes keganasan rumah tangga ialah Pulau Pinang dengan 135 kes. Bagi tahun 2007, negeri yang paling banyak mencatatkan kes keganasan rumah tangga ialah Selangor dengan jumlah kes keseluruhan bagi tempoh tersebut adalah 595 kes.

Sepanjang tempoh 2006 hingga bulan Julai 2011, sebanyak 1,635 kes keganasan rumah tangga melibatkan kaum Melayu direkodkan, diikuti oleh 705 kes melibatkan pasangan India, 487 kes kaum Cina, 79 kes peribumi Sabah, 47 kes peribumi Sarawak, 2 kes peribumi Semenanjung dan 31 kes melibatkan kaum lain.

 Kebiasaannya mangsanya ialah isteri atau bekas isteri, suami atau bekas suami, anak-anak, ibu bapa dan ahli keluarga yang tinggal serumah. Jenis keganasan yang terbabit pula ialah penderaan berbentuk fizikal, mental, emosi, seksual dan spiritual. 

Satu tindakan bersepadu untuk membendung gejala ini perlu dimainkan oleh semua pihak, sama ada pihak kerajaan, pihak keselamatan, NGO, media atau orang perseorangan. Peranan agama patut dititikberatkan oleh setiap warganegara yang prihatin akan gejala yang menular dan sebelum menjadi barah dalam masyarakat.



KAJI SELIDIK ISU : KEGANASAN RUMAHTANGGA



SOALAN 1 :

Adakah anda pernah bertengkar dengan suami hingga menyebabkan anda menangis teresak-esak dan fikiran anda tidak keruan hanya disebabkan perkara kecil dan remeh temeh? Contoh cadar katil belum berkemas, masakan kurang garam

JAWAPAN : YA

Pertengkaran dan perbalahan yang kerap berlaku dalam keluarga tanpa mengira masa dan tempat hanya disebabkan perkara kecil dan remeh temeh adalah suatu perkara yang tidak elok dan patut dihindari.

Jika tidak dikawal, ianya akan menjadi satu budaya yang tidak sihat. Tambahan jika ianya berlaku di hadapan anak-anak yang masih kecil. Isteri bukanlah dijadikan untuk ditengking, dimarahi atau diherdik. Tetapi isteri adalah teman suami di sepanjang jalan kehidupan berumahtangga. Ditegur dengan penuh kasih sayang apabila melakukan kesalahan, ditemani bila dalam ketakutan, dipimpin melayari bahtera rumahtangga, dan dijaga bila dalam kesakitan.

'Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memberi maaf kepada manusia bahawa Allah sangat kasih kepada orang-orang yang berbuat kebaikan' (Ali-Imran : 134)


JAWAPAN : TIDAK

Hidup berumahtangga memerlukan masa untuk mengenali hati, budi, sifat dan sikap, mempelajari pelbagai aspek kemahiran seperti kemahiran menguruskan rumahtangga, kemahiran mengawal diri dan emosi, kemahiran melayani karenah suami/isteri, kemahiran berkomunikasi, kemahiran menguruskan anak-anak dan pendidikan anak-anak dan lain-lain lagi. 

Setiap pasangan hendaklah saling bantu membantu dan menghargai setiap perbuatan baik yang dilakukan oleh pasangan. Sentiasa memberi galakan dan semangat kepada semangat.

'Berilah kemaafan dan serulah orang mengerjakan kebaikan dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil' (Al-'Araf, ayat 199)


SOALAN 2 :

Adakah suami anda mencaci,memaki atau memanggil anda dengan panggilan atau nama yang tidak elok atau tidak sesuai yang mana menyebabkan anda merasakan diri anda hina atau terlalu teruk? Contoh lembu, jalang

JAWAPAN : YA

Memanggil seseorang dengan nama atau panggilan yang tidak elok adalah salah satu jenis penderaan emosi. Suami dan isteri hendaklah saling menghormati dan menghargai pasangan. Jika dilakukan di hadapan anak-anak, maka akan menyebabkan anak-anak merasa ketakutan dan selanjutnya tidak menghormati anda sebagai ibu atau bapa. 

Jikan ianya berlaku dalam keluarga anda, maka ketahuilah bahawa sesuatu yang tidak baik sedang berlaku di dalam hubungan anda suami isteri yang mana jika tidak dikawal akan mendatangkan masalah yang lebih besar kepada anda. Sikap begini juga memberi satu contoh tauladan dan suasana yang buruk dan tidak elok untuk tumbesaran anak-anak. Jika dibiasakan, maka perbualannya kelak tidak akan sunyi daripada perkataan-perkataan tersebut. Bab kata pepatah 'bapa borek, anak rintik'.

'Wahai orang-orang yang hanya beriman dengan lidahnya, tetapi iman itu tidak masuk ke dalam hatinya, janganlah kamu mengumpat orang-orang muslim dan janganlah kamu menjejak keburukan mereka kerana sesiapa yang menjejak keburukan saudara muslimnya, Allah akan mendedahkan keburukannya sekalipun dalam rumahnya' (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

'Mencaci maki seorang muslim itu adalah fasik, dan memeranginya adalah kufur' (Riwayat Bukhari dan Muslim)


JAWAPAN : TIDAK

Setiap pasangan hendaklah menghormati antara satu sama lain, saling menjaga nama baik pasangan dan sentiasa mendorong pasangan membuat kebaikan. Hubungan suami isteri yang baik akan menjadikan fikiran tenteram, rumahtangga aman damai dan anak-anak dibesarkan dengan penuh kasih sayang.

Kasih sayang yang disulami dengan sedikit teguran atau perselisihan pendapat kecil untuk kebaikan keluarga, atau dalam usaha mengenali isi hati dan diri pasangan serta sama-sama berusaha memperbaiki diri dan mengakui kesilapan masing-masing adalah perkara biasa dalam melayari bahtera rumahtangga.

'Dan berkatalah kepada manusia dengan yang baik' (Al-Baqarah, ayat 43)

'Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir' (Ar-Rum, ayat 21)


SOALAN 3 :

Adakah anda pernah dicederakan atau disakiti oleh suami anda dengan apa-apa cara sekalipun? Contoh ditampar, ditendang, ditarik rambut

JAWAPAN : YA

Keganasan rumahtangga ialah satu tindakan apabila pasangan membuli pasangannya sama ada dengan memukul, menendang, menolak hingga terjatuh, menarik rambut, memijak dan apa-apa perbuatan yang menyakiti dan/atau mencederakan anda dengan apa cara sekalipun.

Jangan biarkan ianya berlaku! Ia tidak sepatutnya berlaku dalam sesebuah rumahtangga walau atas apa-apa alasan sekalipun. Bukanlah ini caranya untuk mendidik pasangan bila berlaku kesilapan. Ini adalah satu perbuatan yang menyalahi undang-undang. Jika berlaku terhadap anda, pastikan anda mengambil langkah-langkah keselamatan diri anda dan anak-anak anda dengan segera.

Anda hendaklah membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan perubatan di hospital/klinik kerajaan yang berdekatan. Anda juga boleh memohon perceraian taklik atau fasakh di Mahkamah Syariah.

Ibnu Sa'ad meriwayatkan dari Aisyah r.a. : 'Rasulullah saw tidak pernah memukul seseorang perempuan dengan tangannya, tidak pernah memukul khadam, dan tidak pernah memukul sesuatu benda pun, kecuali dalam berjihad fi sabilillah sahaja'

'Tergamakkan seseorang kamu memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, kemudian dia memeluknya pula, tidakkah dia merasa malu?'

JAWAPAN : TIDAK

Hubungan suami isteri yang harmoni, sejahtera dan sihat tidak memerlukan sebarang bentuk kekasaran untuk membentuk sebuah keluarga bahagia.

Memukul, menendang, menolak hingga terjatuh dan sebagainya yang boleh menyebabkan kecederaan dan kesakitan kepada pasangan adalah salah satu contoh keganasan dan penderaan ke atas pasangan dan merupakan satu kesalahan di sisi agama dan undang-undang.

Pupuklah persefahaman, saling mempercayai, komunikasi intim, sentuhan kasih dan mempelajari teknik hubungan suami isteri bagi membantu anda mengekalkan kemesraan suami isteri hingga akhir hayat.

'Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri) itu dengan baik, dan jika kamu benci mereka, mungkin apa yang kamu benci itu, nanti Allah akan menjadikan padanya kebaikan yang banyak' (An-Nisa, ayat 19)

'Orang yang paling baik di antara kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang yang paling berlaku baik terhadap isterinya dari kamu' (Riwayat Tirmizi dari Aisyah)


SOALAN 4 :

Adakah anda pernah diugut atau diberi amaran oleh suami anda untuk dicederakan atau disakiti hingga menyebabkan anda merasakan diri anda tidak selamat atau takut berada di dalam rumah? Contoh ugut dibunuh, ugut dipukul, ugut disimbah asid

JAWAPAN : YA

Apabila ada sesuatu yang menyebabkan anda rasa sebaliknya, maka ada sesuatu yang tidak kena yang perlu diambil tindakan segera.

Anda hendaklah mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat daripada ahli keluarga terdekat, rakan-rakan yang dipercayai atau daripada kaunselor untuk menyelesaikan masalah ini sebelum ianya berlarutan dan membahayakan diri anda dan anak-anak anda. Anda hendaklah mengambil langkah-langkah keselamatan yang munasabah.

Anda juga boleh membuat laporan polis (jika perlu) jika ditakuti berlaku apa-apa yang tidak diingini terhadap anda dan anak-anak anda.

'Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka buat maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata' (Al-Ahzab, ayat 58)


JAWAPAN : TIDAK

Anda ada hak untuk berasa selamat apabila tinggal/berada di luar rumah, apatah lagi di dalam rumah anda sendiri. Rumah adalah ibarat syurga dunia sebelum melangkah ke alam yang kekal abadi. Rumahtangga yang bahagia memberikan ketenangan dan ketenteraman jiwa kepada penghuninya.

'Mukmin yang paling sempurna imannya ialah mukmin yang paling baik akhlaknya dan mukmin yang paling lemah lembut terhadap isterinya' (Riwayat Tirmizi) 


SOALAN 5 :

Adakah anda pernah ditinggalkan oleh suami anda tanpa sebarang wang atau suami melarang anda menggunakan wang gaji sendiri tanpa izinnya atau suami anda meminta anda menjelaskan dan menanggung bayaran rumahtangga dan lain-lain? Contoh bayar bil-bil bulanan, suami pegang kad kredit isteri, suami pegang kad bank isteri, gaji isteri dipegang oleh suami

JAWAPAN : YA

Anda berhak mendapat wang nafkah diri, nafkah anak-anak, perbelanjaan rumahtangga dan persekolahan anak-anak untuk menyara kehidupan anda dan anak-anak.

Jika sekiranya suami anda tidak pulang ke rumah, tidak meninggalkan wang belanja untuk anda dan anak-anak, maka hendaklah membuat aduan kepada Pejabat Agama yang berdekatan, ahli keluarga yang terdekat dan mendapatkan bantuan kewangan daripada jabatan-jabatan kerajaan seperti baitul mal atau jabatan kebajikan masyarakat.

Jika suami anda menghilangkan diri tanpa memberi nafkah, maka anda boleh memohon perceraian secara taklik atau fasakh di Mahkamah Syariah. Jika suami anda tidak memberi nafkah, maka anda boleh menuntut nafkah diri dan nafkah anak-anak di Mahkamah Syariah.

'Memadailah seseorang itu mendapat dosa, apabila dia mensia-siakan orang-orang yang ditanggungnya' (Riwayat Abu Daud)

'Memadailah seseorang itu mendapat dosa dengan menahan nafkah kepada siapa yang dia menanggung makan minumnya' (Riwayat Muslim)


JAWAPAN : TIDAK

Anda bertuah! Ini adalah kerana anda mendapat seorang pasangan hidup yang bertanggungjawab terhadap anda dan anak-anak anda. Teruskan kehidupan anda yang penuh dengan kebahagiaan. Doakanlah ketenangan dan kegembiraan yang dikecapi ini hingga ke akhir hayat. Tumpukan sepenuh perhatian anda kepada suami dan anak-anak. Berikanlah mereka kasih sayang dan penuhilah keperluan mereka.

Jika ada peselisihan faham, elakkan daripada berlarutan. Bermaafanlah. Carilah jalan penyelesaian terbaik dan bertolak ansur. Buang sifat ego. Mengakui kesilapan bukanlah bermakna kekalahan, tetapi satu kemenangan kerana berjaya mempertahankan rumahtangga yang telah dibina.

'Dan wajib atas yang mempunyai anak itu (bapa) memberi makan minum dan pakaian kepada ibu-ibu itu secara berpatutan' (Al-Baqarah, ayat 233)

'Wang yang kau belanjakan pada jalan Allah, dan wang yang kau belanjakan untuk memerdekakan hamba sahaya, dan wang yang kau sedekahkan ke atas orang miskin, dan wang yang kau belanjakan ke atas isterimu, yang paling besar pahalanya ialah wang yang kau belanjakan ke atas isterimu' (Riwayat Muslim)


SOALAN 6 :

Adakah anda dilarang oleh suami anda untuk keluar rumah, dilarang berjumpa atau menghubungi ahli keluarga atau rakan-rakan anda?

JAWAPAN : YA

Ada sesuatu yang tidak kena di dalam hubungan anda suami isteri. Kenalpasti sikap, perangai atau tingkahlaku suami anda sebelum dan selepas berkahwin.

Adakah suami ada seorang yang terlalu kuat cemburu atau mempunyai sejarah silam yang menghantui dirinya? Jika suami anda seorang yang kuat cemburu, yakinkanlah dia akan kejujuran anda sebagai isteri. Anda hendaklah membatasi pergaulan dan memperkenalkan suami anda kepada rakan-rakan anda secara perlahan-lahan. Pastikan rakan-rakan anda adalah dikenalpasti sebagai rakan yang baik akhlak dan agamanya. 

Jika sebaliknya, maka bantulah suami anda untuk melalui sejarah silam tersebut. Jika masih gagal, maka dapatkanlah bantuan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.  Dapatkan info berkenaan rawatan perubatan yang sesuai. Kerana anda berhak untuk menghubungi dan bergaul dengan ahli keluarga dan rakan-rakan anda yang baik!

'Adakah kamu berharap, jika kamu berkuasa, kamu akan membuat bencana di atas muka bumi, dan kamu akan memutuskan ikatan tali kekeluargaan kamu. Mereka itulah orang-orang yang dikutuki Allah, dan ditulikan Allah pendengaran mereka, serta membutakan penglihatan mereka' (Muhammad : 22-23)

'Tidak akan memasuki syurga orang yang memutuskan tali kerabat' (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Jubair bin Muth'im)


JAWAPAN : TIDAK

Hubungan anda dengan suami, ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan rakan-rakan berjalan dengan baik sekali. Berbuat baik kepada kaum kerabat, jiran tetangga, rakan-rakan adalah suatu akhlak mulia yang disarankan oleh agama.

Pelihara batas-batas pergaulan dengan jiran tetangga dan rakan-rakan menurut suruhan agama. Elakkan dari melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh suami yang boleh menyebabkan kemarahannya.

Maklumkan kepada suami dan meminta izin jika anda perlu keluar rumah untuk berjumpa dengan keluarga, jiran atau rakan. Pastikan rumahtangga dan kebajikan anak-anak terurus. 

Suami hendaklah bertolak ansur dengan isteri dan tidaklah sepatutnya bersikap 'bossy' dan menunjukkan 'kekuasaan' suami terhadap isteri. Layanlah isteri dan anak-anak dengan baik. Maka suatu ketaatan dari seorang isteri terhadap suaminya akan berlaku secara baik. Bantulah isteri untuk berlaku taat kepada suami. Jika isteri bekerja, maka adalah satu keperluan untuk suami menyediakan pembantu rumah bagi meringankan dan membantu kerja-kerja isteri.

'Dan kepada kedua ibu bapa buatlah baik, dan juga kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, tetangga yang kerabat, tetangga yang bukan kerabat, teman dalam perjalanan dan musafir kelana (ibnu sabil)' (An-Nisa, ayat 36)

'Seorang isteri tidak boleh berpuasa ketika suaminya ada di sisinya kecuali dengan izinnya dan janganlah membenarkan seseorang masuk ke dalam rumah tanpa keizinannya' (Riwayat Bukhari)




Wednesday 14 March 2012

Apa beza 'saya ceraikan awak' dan 'saya rela ceraikan awak'?



Apa beza 'saya ceraikan awak' dan 'saya rela ceraikan awak'

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, mengesahkan lafaz cerai diucapkan suami pelakon sitkom komedi Puteri, Nora Danish pada Februari dan Jun lalu sebagai sah dan memutuskan pasangan itu bercerai dengan talak dua. 

Hakim Syarie, Ahmad Irwan Ismail membuat keputusan itu selepas mengesahkan dua lafaz talak oleh suami Nora, Rizal Ashram Ramli, 32, berbunyi 'I ceraikan you' pada Februari dan 'Saya ceraikan awak' pada Jun lalu sebagai sah. 

Malah, plaintif juga mengakui waras ketika melafazkan kata-kata itu. 

Bagaimanapun, Nora yang mengandung kira-kira tiga bulan akan tamat tempoh edahnya selepas melahirkan anaknya pada awal tahun depan. 

Nora, 26, hadir di mahkamah memakai baju kurung merah jambu bersama ibunya dan kelihatan tenang sepanjang prosiding manakala Rizal Ashram hadir ditemani rakannya mengenakan kot berwarna hitam. 

Pada 10 Julai lalu, Rizal yang juga anak bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib memberitahu mahkamah dia pernah melafazkan cerai terhadap Nora sekitar Februari, tetapi merujuk semula selepas mendapat nasihat seorang ustaz. 

Ahli perniagaan itu juga memberitahu mahkamah dia sekali lagi melafazkan cerai menerusi telefon bimbitnya dalam keadaan sedar ketika Nora di rumah.

Ketika menjawab soalan hakim mengenai keadaannya ketika lafaz cerai disebut oleh Rizal Ashram, Jun lalu, Nora memberitahu mahkamah ketika itu kandungannya berusia dua bulan. 

Pasangan itu bernikah pada 20 Jun 2006 di Sime Darby Convention Centre, Sri Hartamas di sini. Selain terkenal dengan drama Puteri, Nora pernah berlakon dalam drama dan telemovie seperti Pendekar 5, Cinta KLCC, Gadis Cuci dan Celak Pak Andam. 

dipetik daripada Berita Harian Online
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Nasional/20080812234100/Article/




Ini adalah salah satu contoh kes Ithbat cerai iaitu suatu proses pengesahan lafaz cerai yang dibuat oleh suami diluar mahkamah. Mahkamah akan merujuk kepada lafaz yang dibuat oleh suami sama ada soreh atau kinayah.

Dalam kes Nora Danish, lafaz yang dibuat oleh suami ialah lafaz iaitu `I ceraikan you' dan `saya ceraikan awak'.

Talak umumnya terbahagi kepada dua, iaitu talak soreh yang tidak memerlukan niat dan talak kinayah yang memerlukan niat.

Apa perbezaan jika suami lafaz `aku rela ceraikan awak', adakah jatuh talak? Dalam satu kes syariah, Mohamad Md Ali lwn Roslina Mohd Yusof, Mahkamah Syariah memutuskan bahawa tidak jatuh talak. Apa yang berlaku ialah suami rela menceraikan isterinya atas andaian isterinya telah benci kepadanya, dan ingin meminta persetujuan cerai darinya. Kata-kata suami `aku rela ceraikan awak' boleh dimaksudkan menyerahkan perceraian kepada isteri jika ia mahu. Ianya seperti bermaksud `aku rela ceraikan engkau jika engkau mahu kerana engkau benci padaku'. Namun hakikatnya ialah suami tidak berniat untuk bercerai dan tidak benci malah masih sayang kepada isteri. Oleh itu, Mahkamah memutuskan berdasarkan prinsip Al-Tawfid fi al-Talak, tidak sabit talak.

Tuesday 13 March 2012

Keadilan di Mahkamah Syariah


Keadilan di Mahkamah Syariah



Sejak akhir-akhir ini saya amat terasa kesibukan yang mencengkam. Bukannya apa, kesibukan nak menyiapkan hujah-hujah dalam tempoh masa yang ditetapkan. Perlu banyak membaca. Kena teliti betul-betul keterangan semua pihak, sama ada di pihak Plaintif atau Defendan. Rujukan dah confirmlah kena ada. Beban pembuktian, tahap pembuktian yang diperlukan dan lain-lain lagi...

Bila menaip hujjah tu, terbayang wajah-wajah klien yang menanti penuh dengan harapan agar kes dapat diselesaikan dan dapat keputusan yang memuaskan dan memihak kepadanya. Tetapi, sebagai seorang pengamal undang-undang syariah kita memahami kehendak keadilan di sisi undang-undang Islam di Mahkamah Syariah.

Bukan isu kalah atau menang kes, tetapi keadilan kepada kedua-dua belah pihak. Ini adalah kerana tujuan undang-undang ialah untuk mencapai keadilan dengan memberikan hak kepada yang berhak dan meletakkan sesuatu kepada tempatnya dan untuk mengelak dan menghapuskan kezaliman.

Terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menyentuh berkenaan prinsip keadilan yang menyuruh agar manusia sentiasa berlaku adil dan menegakkan keadilan.

(1) Surah As-Syura, ayat 14
(2) Surah An-Nisa, ayat 135
(3) Surah An-Nisa, ayat 58
(4) Surah Al-Maidah, ayat 8
(5) Surah Al-An'am, ayat 152
(6) Surah Al-Baqarah, ayat 282
(7) Surah An-Nahl, ayat 90

Allahyarham Prof Ahmad Ibrahim ada menyebut bahawa semua manusia dituntut untuk berlaku adil dalam apa sahaja urusan atau jawatan terutama sekali dalam semua aspek pentadbiran di Mahkamah Syariah. Semua pegawai yang terlibat termasuk Hakim, pegawai undang-undang, peguam, saksi dan juga pegawai agama dituntut untuk berlaku adil kerana mereka akan melaksanakan tugas untuk menegakkan keadilan. Semua Hakim selain daripada bersikap adil, hendaklah mengetahui dengan mendalam tentang hukum-hukum dan undang-undang yang ia perlu laksanakan.

Prof Mahmud Saedon dalam tulisannya bertajuk Acara Mal Syariah Satu Analisis ada merujuk kepada 3 ayat dalam Surah Al-Maidah :

(1) Al-Maidah, ayat 44 :

إِنَّا أَنزَلْنَا التَّوْرَاةَ فِيهَا هُدًى وَنُورٌ يَحْكُمُ بِهَا النَّبِيُّونَ الَّذِينَ أَسْلَمُواْ لِلَّذِينَ هَادُواْ وَالرَّبَّانِيُّونَ وَالأَحْبَارُ بِمَا اسْتُحْفِظُواْ مِن كِتَابِ اللّهِ وَكَانُواْ عَلَيْهِ شُهَدَاء فَلاَ تَخْشَوُاْ النَّاسَ وَاخْشَوْنِ وَلاَ تَشْتَرُواْ بِآيَاتِي ثَمَنًا قَلِيلاً وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللّهُ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ (5:44)


Maksudnya : `Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), yang dengan Kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah, oleh orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya. Karena itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku. Dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Barang siapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir'.


(2) Al-Maidah, ayat 45 :

وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ وَالْعَيْنَ بِالْعَيْنِ وَالأَنفَ بِالأَنفِ وَالأُذُنَ بِالأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالْجُرُوحَ قِصَاصٌ فَمَن تَصَدَّقَ بِهِ فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَّهُ وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أنزَلَ اللّهُ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (5:45)


Maksudnya : `Dan kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya (At Taurat) bahwasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka-luka (pun) ada qisasnya. Barang siapa yang melepaskan (hak qisas) nya, maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya. Barang siapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim'


(3) Al-Maidah, ayat 47 :

وَلْيَحْكُمْ أَهْلُ الإِنجِيلِ بِمَا أَنزَلَ اللّهُ فِيهِ وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللّهُ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya : `Dan hendaklah orang-orang pengikut Injil, memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah di dalamnya. Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik'


Berdasarkan 3 ayat di atas, Prof Mahmud Saedon mengulas bahawa `ayat-ayat di atas menerangkan bahawa golongan yang tidak menghukum berdasarkan syariah Islam akan tergolong dalam salah satu daripada kumpulan yang ditegaskan oleh Allah tadi, iaitu : kafir, jika keengganan untuk melaksanakan hukum-hukum Allah ini kerana keingkaran dan tidak beriman terhadap kebenaran undang-undang Islam. Jika hanya menyeleweng daripada hukum atau undang-undang Islam tetapi tidak mengingkari atau mendustakannya maka mereka akan tergolong dalam golongan orang yang fasiq dan zalim. Oleh yang demikian, patuh kepada Islam dan syariahnya merupakan tuntutan agama'.

Berat sungguh amanah, beban dan tanggungjawab yang dipikul oleh pengamal syariah. Kadang-kadang terasa diri ini begitu kerdil di sisi Allah swt untuk memikul amanah ini. Sebagai pengamal syariah juga, saya terasa kita semua bertanggungjawab untuk menyebarkan keindahan dan keadilan syariah Islam kepada semua, tidak kira sama ada kepada sesama Muslim atau bukan Islam. Mengapa saya mengatakan demikian? Ini adalah kerana terdapat juga rakan-rakan seagama kita yang terkeliru dengan prinsip perundangan Islam yang sebenar. Ramai yang memahami syariah mengikut kacamata dan pemahaman sendiri ataupun mencedok daripada teori barat.

Moga perlaksanaan syariah di bumi Malaysia yang tercinta ini menjadi kenyataan!

Suami cerai isteri kerana tiada sefahaman

Suami cerai isteri kerana tiada sefahaman





Azman dan Nora baru setahun jagung mendirikan rumahtangga. Selepas lebihkurang 7 bulan berkahwin, Azman telah bertindak keluar meninggalkan rumah sewa mereka. Tiada pertengkaran yang berlaku antara mereka. Bahkan Nora adalah seorang isteri yang penyabar dan mempunyai peribadi mulia dan lemah lembut. Maka tinggallah Nora keseorangan di rumah sewa, malam menanti siang, siang menanti malam. Air mata sememangnya menjadi teman pengubat duka.

Baru-baru ini Azman datang mengunjungi Nora di pejabat. Nora menghadiahkan senyuman apabila ternampak Azman. `Alhamdulillah, suamiku masih lagi mengingati dan menyayangi diriku', detik hati Nora kegirangan.

`Nora, antara kita tidak ada sefahaman lagi. Abang akan menceraikan Nora di mahkamah syariah nanti', ujar Azman tegas. Menggigil tubuh badan Nora mendengar kata-kata yang terpacul daripada mulut suami yang sangat disayangi. Walaupun perkahwinan mereka bukan atas dasar cinta, bahkan semuanya diatur oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak tetapi 7 bulan hidup bersama sebagai suami isteri telah mencambahkan rasa kasih dan cinta Nora terhadap Azman.

Nora mengangguk lemah. `Kenapa bang? Apa yang membuatkan abang mengambil keputusan begini?', perlahan Nora bertanya. 

`Pertama, cara hidup kita berbeza, tak serasi. Cara hidup abang, dengan cara hidup Nora tak sama. Kedua, abang belum bersedia untuk berumahtangga. Ketiga, abang tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap Nora. Keempat, abang tidak mahu terus menerus rasa berdosa terhadap Nora. Kelima, abang tidak mampu menunaikan nafkah batin kerana tidak lagi mempunyai rasa kasih sayang terhadap Nora. Biarlah kita bawa haluan kita masing-masing', jawab Azman dalam nada yang lembut tetapi tegas dengan keputusan yang dibuat.

Azman telah memfailkan perceraian secara baik di Mahkamah di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Kedua-dua ibubapa Azman dan Nora hadir di Mahkamah. Hubungan kekeluargaan antara dua buah keluarga tetap erat. Nora juga amat disayangi oleh keluarga mertua.

Masalah di sini ialah bukanlah Nora tidak menyayangi Azman, tetapi Azman masih lagi mengingati kekasih lama, Diana. Perkahwinan ini diharapkan Azman dapat membantu beliau melupakan Diana, tetapi masih belum berhasil. Azman seringkali keluar out-station dan berhibur dengan rakan-rakan, tetapi wajah lembut Diana masih terpampar di mana-mana. Tetapi, adakah ini balasan yang patut diterima oleh Nora? Setelah setahun berkahwin dan berkorban akhirnya dihadiahkan title `janda'.

`Inilah yang dikatakan jodoh... jadi jodoh mereka setakat itu sahajalah', inilah antara kata-kata yang terpacul dari mulut salah seorang ahli keluarga yang hadir. 

Semasa di dalam Mahkamah, Yang Arif Hakim meneliti Saman Dan Pernyataan Tuntutan yang difailkan oleh Azman. 
`Adakah perkahwinan ini tidak boleh diselamatkan lagi' soal Tuan Hakim. 
`Ya', Azman menjawab pendek.
`Adakah perceraian ini satu-satunya jalan penyelesaian' soal Tuan Hakim lagi sambil mencatat butir-butir jawapan Azman.
`Ya', jawab Azman sambil menoleh melihat Nora yang duduk disebelahnya.

Nora diam seribu bahasa. Tiada perkataan yang nak diluahkan dan dirayu apabila suami sudah bertekad untuk melepaskannya.

`Adakah puan bersetuju untuk berpisah' soal Tuan Hakim.
`Keputusan ditangan suami' jawab Nora.

`Ini adalah perceraian secara baik. Maksudnya selepas ini janganlah ada dendam di hati. Saya harap Puan dapat menjaga diri di sepanjang tempoh eddah. Suami boleh merujuk Puan semasa tempoh eddah. Encik boleh lafazkan cerai, sebut nama encik kemudian lafazkan cerai talak satu terhadap isteri, sebut nama isteri encik. Istighfar dan mohon keampunan daripada Allah. Sebelum itu, eloklah bermaaf-maafan', ujar Tuan Hakim lembut.

Nora tunduk mencium tangan suaminya sambil memohon maaf atas segala kesalahan selama berumahtangga dan mohon agar dihalalkan segala makan minum. Begitu juga dengan Azman meminta maaf atas segala kepincangan beliau sebagai suami selama tempoh perkahwinan.

Azman menarik nafas dalam-dalam. Azman diam sebentar. Mungkin mencari kekuatan untuk melafazkan sesuatu yang tidak pernah terucap sebelum ini. Nora hanya tunduk, tenang. Suasana sunyi seketika.

`Astaghfirullahal`azim, saya Azman bin Aziz, saya ceraikan isteri saya Nora binti Abdullah dengan talak satu'

`Puan dengar lafaz suami puan', soal Tuan Hakim perlahan.
`Ya' jawab Nora sambil mengangguk.

Yang Arif Tuan Hakim tekun merekod lafaz talak serta butir-butir persetujuan antara Azman dan Nora.


Benarlah firman Allah swt :

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ (30:21) 
`Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir'

Sesungguhnya rasa kasih sayang antara suami isteri adalah suatu nikmat anugerah Allah swt kepada hamba-hambaNya. Perasaan cinta dan kasih sayang ini boleh hadir secara semulajadi atau kita berusaha serta berdoa bersunggguh-sungguh ke hadrat Yang Memegang Segala Hati dan Perasaan agar Allah swt mencampakkan rasa kasih suami kepada isteri, dan kasih isteri kepada suami. Suami isteri juga boleh pergi bercuti berdua atau menghadiri Seminar / Kaunseling sebagai salah satu usaha ke arah mempertahankan mahligai yang telah dibina. Setelah segala usaha yang bersungguh-sungguh telah dibuat tetapi masih belum menampakkan hasilnya, maka terpulanglah kepada mereka untuk membuat keputusan yang terbaik.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...