Thursday 8 March 2012

Suami Murtad, Hak Jagaan Anak Kepada Ibu


Suami Murtad, Hak Jagaan Kepada Ibu



Di dalam kes Permohonan Ex Parte Zaimas bt Ibrahim , Pemohon telah memohon mengesahkan perceraiannya oleh suaminya yang telah menceraikan diluar mahkamah. Mahkamah telah berpuas hati bahawa Muhamed Tham bin Abdullah telah murtad, mahkamah juga berpuas hati bahawa perbuatannya yang sedemikian itu menyebabkan Mahkamah ada kuasa untuk membubarkan perkahwinannya dengan Zaimas binti Ibrahim.

Mahkamah telah merujuk kepada peruntukan Seksyen 43(1) Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam 1985 yang memperuntukkan :

`Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan murtad atau memeluk sesuatu kepercayaan lain daripada Islam, maka perbuatan yang sedemikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan sedemikian oleh Mahkamah’

Sepanjang tempoh perkahwinan, mereka telah dikurniakan dua orang cahayamata perempuan.

Mengenai tuntutan hak jagaan anak oleh Pemohon, Mahkamah melihat kepada apa yang disebutkan di dalam kitab feqah. Di dalam kitab Kifayah Al-Akhyar juzuk 2 mula 93 ada disebut bererti :

`Hadanah ialah satu ungkapan untuk menyatakan pelaksanaan mengasuh anak yang masih tidak dapat membedakan antara yang bermanfaat (tamyiz), dan tidak dapat mengatur dirinya sendiri dan mengasuhnya sesuai dengan apa yang mendatangkan manfaat kepada dirinya dan menjauh mudarat daripada’

Selain daripada itu syarat-syarat hadinah, iaitu perempuan yang mempunyai hak mendidik kanak-kanak juga disebut di dalam kitab yang berkenaan di muka surat 94, manakala di dalam undang-undang ianya diperuntukkan menurut Seksyen 81 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam 1985 seperti berikut :

Hadinah, iaitu perempuan yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadanah jika –

(a) dia adalah seorang Islam;
(b) dia berakal sempurna akal;
(c) dia berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani’


Di dalam Enakmen yang sama, Seksyen 83 telah memperuntukkan :

(1 Hak hadinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan

(2) Setelah tamatnya hak hadinah, penjagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memutuskan selainnya’


Memandangkan bahawa Muhamed Tham bin Abdullah telah keluar dari agama Islam, walau apapun kedudukannya, demi menjaga iman anak-anaknya dengan Zaimas dan berpandukan kepada peruntukan Seksyen 83(2) Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam 1985 yang antara lain memperuntukkan, `… melainkan jika Mahkamah memerintah selainnya,’ dan juga hadis Rasulullah saw yang bermaksud :

`tiap-tiap kanak-kanak itu dilahirkan di dalam keadaan fitrah (suci) maka kedua-dua ibu bapa merekalah yang menyebabkan mereka itu menjadi Yahudi atau Nasrani ataupun Majusi’

serta kaedah feqah (legal maxim) Saad Al-Dharu’i iaitu menutup saluran bahaya, Mahkamah berpendapat hak jagaan kedua-dua anak perempuan hendaklah diberikan kepada Zaimas binti Ibrahim, ibu kanak-kanak berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...