Assalamualaikum buat semua pengunjung PesonaSyariah!
FAQ Keganasan Rumahtangga disediakan sebagai info ringkas kepada masyarakat awam berkenaan isu-isu penderaan terhadap wanita khususnya yang berlaku di dalam rumahtangga.
Bahtera rumahtangga yang dilayari dilanda badai dan ombak kehidupan. Bukan sedikit berita yang dipaparkan di dada akhbar berkenaan isu keganasan rumahtangga dan penderaan ke atas kaum hawa sama ada dari segi mental, fizikal dan emosi.
Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada JKM dari tahun 2006 sehingga Jun 2011 adalah sebanyak 2,986 kes.
Bagi tahun 2006 negeri yang paling banyak mencatatkan kes keganasan rumah tangga ialah Pulau Pinang dengan 135 kes. Bagi tahun 2007, negeri yang paling banyak mencatatkan kes keganasan rumah tangga ialah Selangor dengan jumlah kes keseluruhan bagi tempoh tersebut adalah 595 kes.
Sepanjang tempoh 2006 hingga bulan Julai 2011, sebanyak 1,635 kes keganasan rumah tangga melibatkan kaum Melayu direkodkan, diikuti oleh 705 kes melibatkan pasangan India, 487 kes kaum Cina, 79 kes peribumi Sabah, 47 kes peribumi Sarawak, 2 kes peribumi Semenanjung dan 31 kes melibatkan kaum lain.
Kebiasaannya mangsanya ialah isteri atau bekas isteri, suami atau bekas suami, anak-anak, ibu bapa dan ahli keluarga yang tinggal serumah. Jenis keganasan yang terbabit pula ialah penderaan berbentuk fizikal, mental, emosi, seksual dan spiritual.
Satu tindakan bersepadu untuk membendung gejala ini perlu dimainkan oleh semua pihak, sama ada pihak kerajaan, pihak keselamatan, NGO, media atau orang perseorangan. Peranan agama patut dititikberatkan oleh setiap warganegara yang prihatin akan gejala yang menular dan sebelum menjadi barah dalam masyarakat.
KAJI SELIDIK ISU : KEGANASAN RUMAHTANGGA
SOALAN 1 :
Adakah anda pernah bertengkar dengan suami hingga menyebabkan anda menangis teresak-esak dan fikiran anda tidak keruan hanya disebabkan perkara kecil dan remeh temeh? Contoh cadar katil belum berkemas, masakan kurang garam
JAWAPAN : YA
Pertengkaran dan perbalahan yang kerap berlaku dalam keluarga tanpa mengira masa dan tempat hanya disebabkan perkara kecil dan remeh temeh adalah suatu perkara yang tidak elok dan patut dihindari.
Jika tidak dikawal, ianya akan menjadi satu budaya yang tidak sihat. Tambahan jika ianya berlaku di hadapan anak-anak yang masih kecil. Isteri bukanlah dijadikan untuk ditengking, dimarahi atau diherdik. Tetapi isteri adalah teman suami di sepanjang jalan kehidupan berumahtangga. Ditegur dengan penuh kasih sayang apabila melakukan kesalahan, ditemani bila dalam ketakutan, dipimpin melayari bahtera rumahtangga, dan dijaga bila dalam kesakitan.
'Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memberi maaf kepada manusia bahawa Allah sangat kasih kepada orang-orang yang berbuat kebaikan' (Ali-Imran : 134)
JAWAPAN : TIDAK
Hidup berumahtangga memerlukan masa untuk mengenali hati, budi, sifat dan sikap, mempelajari pelbagai aspek kemahiran seperti kemahiran menguruskan rumahtangga, kemahiran mengawal diri dan emosi, kemahiran melayani karenah suami/isteri, kemahiran berkomunikasi, kemahiran menguruskan anak-anak dan pendidikan anak-anak dan lain-lain lagi.
Setiap pasangan hendaklah saling bantu membantu dan menghargai setiap perbuatan baik yang dilakukan oleh pasangan. Sentiasa memberi galakan dan semangat kepada semangat.
'Berilah kemaafan dan serulah orang mengerjakan kebaikan dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil' (Al-'Araf, ayat 199)
SOALAN 2 :
Adakah suami anda mencaci,memaki atau memanggil anda dengan panggilan atau nama yang tidak elok atau tidak sesuai yang mana menyebabkan anda merasakan diri anda hina atau terlalu teruk? Contoh lembu, jalang
JAWAPAN : YA
Memanggil seseorang dengan nama atau panggilan yang tidak elok adalah salah satu jenis penderaan emosi. Suami dan isteri hendaklah saling menghormati dan menghargai pasangan. Jika dilakukan di hadapan anak-anak, maka akan menyebabkan anak-anak merasa ketakutan dan selanjutnya tidak menghormati anda sebagai ibu atau bapa.
Jikan ianya berlaku dalam keluarga anda, maka ketahuilah bahawa sesuatu yang tidak baik sedang berlaku di dalam hubungan anda suami isteri yang mana jika tidak dikawal akan mendatangkan masalah yang lebih besar kepada anda. Sikap begini juga memberi satu contoh tauladan dan suasana yang buruk dan tidak elok untuk tumbesaran anak-anak. Jika dibiasakan, maka perbualannya kelak tidak akan sunyi daripada perkataan-perkataan tersebut. Bab kata pepatah 'bapa borek, anak rintik'.
'Wahai orang-orang yang hanya beriman dengan lidahnya, tetapi iman itu tidak masuk ke dalam hatinya, janganlah kamu mengumpat orang-orang muslim dan janganlah kamu menjejak keburukan mereka kerana sesiapa yang menjejak keburukan saudara muslimnya, Allah akan mendedahkan keburukannya sekalipun dalam rumahnya' (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
'Mencaci maki seorang muslim itu adalah fasik, dan memeranginya adalah kufur' (Riwayat Bukhari dan Muslim)
JAWAPAN : TIDAK
Setiap pasangan hendaklah menghormati antara satu sama lain, saling menjaga nama baik pasangan dan sentiasa mendorong pasangan membuat kebaikan. Hubungan suami isteri yang baik akan menjadikan fikiran tenteram, rumahtangga aman damai dan anak-anak dibesarkan dengan penuh kasih sayang.
Kasih sayang yang disulami dengan sedikit teguran atau perselisihan pendapat kecil untuk kebaikan keluarga, atau dalam usaha mengenali isi hati dan diri pasangan serta sama-sama berusaha memperbaiki diri dan mengakui kesilapan masing-masing adalah perkara biasa dalam melayari bahtera rumahtangga.
'Dan berkatalah kepada manusia dengan yang baik' (Al-Baqarah, ayat 43)
'Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir' (Ar-Rum, ayat 21)
SOALAN 3 :
Adakah anda pernah dicederakan atau disakiti oleh suami anda dengan apa-apa cara sekalipun? Contoh ditampar, ditendang, ditarik rambut
JAWAPAN : YA
Keganasan rumahtangga ialah satu tindakan apabila pasangan membuli pasangannya sama ada dengan memukul, menendang, menolak hingga terjatuh, menarik rambut, memijak dan apa-apa perbuatan yang menyakiti dan/atau mencederakan anda dengan apa cara sekalipun.
Jangan biarkan ianya berlaku! Ia tidak sepatutnya berlaku dalam sesebuah rumahtangga walau atas apa-apa alasan sekalipun. Bukanlah ini caranya untuk mendidik pasangan bila berlaku kesilapan. Ini adalah satu perbuatan yang menyalahi undang-undang. Jika berlaku terhadap anda, pastikan anda mengambil langkah-langkah keselamatan diri anda dan anak-anak anda dengan segera.
Anda hendaklah membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan perubatan di hospital/klinik kerajaan yang berdekatan. Anda juga boleh memohon perceraian taklik atau fasakh di Mahkamah Syariah.
Ibnu Sa'ad meriwayatkan dari Aisyah r.a. : 'Rasulullah saw tidak pernah memukul seseorang perempuan dengan tangannya, tidak pernah memukul khadam, dan tidak pernah memukul sesuatu benda pun, kecuali dalam berjihad fi sabilillah sahaja'
'Tergamakkan seseorang kamu memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, kemudian dia memeluknya pula, tidakkah dia merasa malu?'
JAWAPAN : TIDAK
Hubungan suami isteri yang harmoni, sejahtera dan sihat tidak memerlukan sebarang bentuk kekasaran untuk membentuk sebuah keluarga bahagia.
Memukul, menendang, menolak hingga terjatuh dan sebagainya yang boleh menyebabkan kecederaan dan kesakitan kepada pasangan adalah salah satu contoh keganasan dan penderaan ke atas pasangan dan merupakan satu kesalahan di sisi agama dan undang-undang.
Pupuklah persefahaman, saling mempercayai, komunikasi intim, sentuhan kasih dan mempelajari teknik hubungan suami isteri bagi membantu anda mengekalkan kemesraan suami isteri hingga akhir hayat.
'Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri) itu dengan baik, dan jika kamu benci mereka, mungkin apa yang kamu benci itu, nanti Allah akan menjadikan padanya kebaikan yang banyak' (An-Nisa, ayat 19)
'Orang yang paling baik di antara kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang yang paling berlaku baik terhadap isterinya dari kamu' (Riwayat Tirmizi dari Aisyah)
SOALAN 4 :
Adakah anda pernah diugut atau diberi amaran oleh suami anda untuk dicederakan atau disakiti hingga menyebabkan anda merasakan diri anda tidak selamat atau takut berada di dalam rumah? Contoh ugut dibunuh, ugut dipukul, ugut disimbah asid
JAWAPAN : YA
Apabila ada sesuatu yang menyebabkan anda rasa sebaliknya, maka ada sesuatu yang tidak kena yang perlu diambil tindakan segera.
Anda hendaklah mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat daripada ahli keluarga terdekat, rakan-rakan yang dipercayai atau daripada kaunselor untuk menyelesaikan masalah ini sebelum ianya berlarutan dan membahayakan diri anda dan anak-anak anda. Anda hendaklah mengambil langkah-langkah keselamatan yang munasabah.
Anda juga boleh membuat laporan polis (jika perlu) jika ditakuti berlaku apa-apa yang tidak diingini terhadap anda dan anak-anak anda.
'Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka buat maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata' (Al-Ahzab, ayat 58)
JAWAPAN : TIDAK
Anda ada hak untuk berasa selamat apabila tinggal/berada di luar rumah, apatah lagi di dalam rumah anda sendiri. Rumah adalah ibarat syurga dunia sebelum melangkah ke alam yang kekal abadi. Rumahtangga yang bahagia memberikan ketenangan dan ketenteraman jiwa kepada penghuninya.
'Mukmin yang paling sempurna imannya ialah mukmin yang paling baik akhlaknya dan mukmin yang paling lemah lembut terhadap isterinya' (Riwayat Tirmizi)
SOALAN 5 :
Adakah anda pernah ditinggalkan oleh suami anda tanpa sebarang wang atau suami melarang anda menggunakan wang gaji sendiri tanpa izinnya atau suami anda meminta anda menjelaskan dan menanggung bayaran rumahtangga dan lain-lain? Contoh bayar bil-bil bulanan, suami pegang kad kredit isteri, suami pegang kad bank isteri, gaji isteri dipegang oleh suami
JAWAPAN : YA
Anda berhak mendapat wang nafkah diri, nafkah anak-anak, perbelanjaan rumahtangga dan persekolahan anak-anak untuk menyara kehidupan anda dan anak-anak.
Jika sekiranya suami anda tidak pulang ke rumah, tidak meninggalkan wang belanja untuk anda dan anak-anak, maka hendaklah membuat aduan kepada Pejabat Agama yang berdekatan, ahli keluarga yang terdekat dan mendapatkan bantuan kewangan daripada jabatan-jabatan kerajaan seperti baitul mal atau jabatan kebajikan masyarakat.
Jika suami anda menghilangkan diri tanpa memberi nafkah, maka anda boleh memohon perceraian secara taklik atau fasakh di Mahkamah Syariah. Jika suami anda tidak memberi nafkah, maka anda boleh menuntut nafkah diri dan nafkah anak-anak di Mahkamah Syariah.
'Memadailah seseorang itu mendapat dosa, apabila dia mensia-siakan orang-orang yang ditanggungnya' (Riwayat Abu Daud)
'Memadailah seseorang itu mendapat dosa dengan menahan nafkah kepada siapa yang dia menanggung makan minumnya' (Riwayat Muslim)
JAWAPAN : TIDAK
Anda bertuah! Ini adalah kerana anda mendapat seorang pasangan hidup yang bertanggungjawab terhadap anda dan anak-anak anda. Teruskan kehidupan anda yang penuh dengan kebahagiaan. Doakanlah ketenangan dan kegembiraan yang dikecapi ini hingga ke akhir hayat. Tumpukan sepenuh perhatian anda kepada suami dan anak-anak. Berikanlah mereka kasih sayang dan penuhilah keperluan mereka.
Jika ada peselisihan faham, elakkan daripada berlarutan. Bermaafanlah. Carilah jalan penyelesaian terbaik dan bertolak ansur. Buang sifat ego. Mengakui kesilapan bukanlah bermakna kekalahan, tetapi satu kemenangan kerana berjaya mempertahankan rumahtangga yang telah dibina.
'Dan wajib atas yang mempunyai anak itu (bapa) memberi makan minum dan pakaian kepada ibu-ibu itu secara berpatutan' (Al-Baqarah, ayat 233)
'Wang yang kau belanjakan pada jalan Allah, dan wang yang kau belanjakan untuk memerdekakan hamba sahaya, dan wang yang kau sedekahkan ke atas orang miskin, dan wang yang kau belanjakan ke atas isterimu, yang paling besar pahalanya ialah wang yang kau belanjakan ke atas isterimu' (Riwayat Muslim)
SOALAN 6 :
Adakah anda dilarang oleh suami anda untuk keluar rumah, dilarang berjumpa atau menghubungi ahli keluarga atau rakan-rakan anda?
JAWAPAN : YA
Ada sesuatu yang tidak kena di dalam hubungan anda suami isteri. Kenalpasti sikap, perangai atau tingkahlaku suami anda sebelum dan selepas berkahwin.
Adakah suami ada seorang yang terlalu kuat cemburu atau mempunyai sejarah silam yang menghantui dirinya? Jika suami anda seorang yang kuat cemburu, yakinkanlah dia akan kejujuran anda sebagai isteri. Anda hendaklah membatasi pergaulan dan memperkenalkan suami anda kepada rakan-rakan anda secara perlahan-lahan. Pastikan rakan-rakan anda adalah dikenalpasti sebagai rakan yang baik akhlak dan agamanya.
Jika sebaliknya, maka bantulah suami anda untuk melalui sejarah silam tersebut. Jika masih gagal, maka dapatkanlah bantuan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan. Dapatkan info berkenaan rawatan perubatan yang sesuai. Kerana anda berhak untuk menghubungi dan bergaul dengan ahli keluarga dan rakan-rakan anda yang baik!
'Adakah kamu berharap, jika kamu berkuasa, kamu akan membuat bencana di atas muka bumi, dan kamu akan memutuskan ikatan tali kekeluargaan kamu. Mereka itulah orang-orang yang dikutuki Allah, dan ditulikan Allah pendengaran mereka, serta membutakan penglihatan mereka' (Muhammad : 22-23)
'Tidak akan memasuki syurga orang yang memutuskan tali kerabat' (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Jubair bin Muth'im)
JAWAPAN : TIDAK
Hubungan anda dengan suami, ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan rakan-rakan berjalan dengan baik sekali. Berbuat baik kepada kaum kerabat, jiran tetangga, rakan-rakan adalah suatu akhlak mulia yang disarankan oleh agama.
Pelihara batas-batas pergaulan dengan jiran tetangga dan rakan-rakan menurut suruhan agama. Elakkan dari melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh suami yang boleh menyebabkan kemarahannya.
Maklumkan kepada suami dan meminta izin jika anda perlu keluar rumah untuk berjumpa dengan keluarga, jiran atau rakan. Pastikan rumahtangga dan kebajikan anak-anak terurus.
Suami hendaklah bertolak ansur dengan isteri dan tidaklah sepatutnya bersikap 'bossy' dan menunjukkan 'kekuasaan' suami terhadap isteri. Layanlah isteri dan anak-anak dengan baik. Maka suatu ketaatan dari seorang isteri terhadap suaminya akan berlaku secara baik. Bantulah isteri untuk berlaku taat kepada suami. Jika isteri bekerja, maka adalah satu keperluan untuk suami menyediakan pembantu rumah bagi meringankan dan membantu kerja-kerja isteri.
'Dan kepada kedua ibu bapa buatlah baik, dan juga kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, tetangga yang kerabat, tetangga yang bukan kerabat, teman dalam perjalanan dan musafir kelana (ibnu sabil)' (An-Nisa, ayat 36)
'Seorang isteri tidak boleh berpuasa ketika suaminya ada di sisinya kecuali dengan izinnya dan janganlah membenarkan seseorang masuk ke dalam rumah tanpa keizinannya' (Riwayat Bukhari)
No comments:
Post a Comment