Sunday 2 September 2012

Lafaz talak beribu-ribu - adakah jatuh talak?


Lafaz talak beribu-ribu – adakah jatuh talak?


Dewasa ini pelbagai persoalan timbul dengan ungkapan perceraian oleh suami dengan menggunakan pelbagai `wording’ atau lafaz perkataan serta menggunakan pelbagai kaedah teknologi terkini termasuklah sistem khidmat pesanan ringkas dan lain-lain.

Nampak seperti mudahnya perceraian yang berlaku dan murah sekali harga sebuah perkahwinan. Keletihan dan beban hutang yang ditanggung semasa mengadakan majlis perkahwinan yang gilang gemilang masih lagi terasa. Ringan mulut menuturkan ungkapan `apa nak buat, jodoh tak ada’.

Terdapat juga pasangan yang bersungguh-sungguh berusaha untuk mempertahankan rumahtangga yang dibina, tetapi disebabkan kejahilan tentang hukum hakam perkahwinan, maka mahligai bahagia yang dibina roboh begitu sahaja. Terbayang wajah anak-anak yang masih kecil tertanya-tanya dan keliru dengan perpisahan yang berlaku antara ibu dan ayah yang masih kuat dan utuh ikatan kasih sayang mereka.

Di dalam hal ini, ingin saya berkongsi satu contoh kes di mana si suami telah melafazkan kalimah cerai terhadap isteri dengan ungkapan lafaz taklik, `kalau you jumpa dia (Jamaluddin), jatuh talak beribu-ribu’. Tidak dinafikan bahawa si isteri masih terus berjumpa Jamaluddin selepas lafaz taklik tersebut. Suami menyatakan bahawa beliau tidak berniat untuk menceraikan isteri dengan lafaz taklik tersebut tetapi hanya bertujuan untuk melarang isteri daripada berjumpa dengan Jamaluddin.

Dalam kes Zainuddin Kamaruzzaman lwn Khairuzita Khairuddin , [2006] 1 CLJ (Sya) 366, Hakim Bicara telah mengulas bahawa lafaz taklik yang perlu kepada Mua’lah Alaib iaitu perbuatan pergi jumpa Jamaluddin dan ini disahkan sendiri oleh isteri. 

Hakim bicara selanjutnya telah menjelaskan dengan merujuk kepada kitab I’aanah at-Talibin, Juzuk 4 m/s 27 :

`Harus bertaklik talak seperti mana membebaskan hamba dengan syarat dan tidak harus menarik balik sebelum wajib sifat dan tidak berlaku talak sebelum wujudnya syarat’.

Di dalam kitab al-Sharqani at-Tharit, Juzuk 2, m/s 302 menyatakan :

`Sesiapa yang membuat taklik dengan satu sifat atau lafaz maka jatuh talak dengan satu talak dengan adanya perbuatan atau sifat seperti mana bentuk lafaz taklik yang dibuat itu’

Berdasarkan 2 nas hukum syarak di atas jelaslah bahawa lafaz taklik talak yang telah dilafazkan oleh suami adalah lafaz taklik yang tidak boleh ditarik balik sehingga ia berlaku atau perlanggaran taklik itu wujud iaitu syarat atau sifat dalam lafaz taklik iaitu `kalau you jumpa dia, jatuh talak beribu-ribu talak’. Syaratnya `kalau isteri pergi berjumpa Jamaluddin jatuh talak beribu-ribu talak’. 

Persoalan seterusnya, berapa jumlah talak yang jatuh?

Hakim bicara telah jelas menyebut berpandukan hukum syarak iaitu jika taklik seperti beribu atau sebanyak bintang di langit sekalipun ianya hanya akan dikira sekadar tiga sahaja iaitu jumlah yang maksima yang dibenarkan hukum syarak.

Di dalam kes ini, suami telah menjatuhkan satu talak kepada isteri sebelumnya. Maka baki talak ialah sebanyak sua talak lagi. Hakim seterusnya mensabitkan talak jatuh dua menjadikan tiga talak yang berjumlah kepada talak bain.

Adalah dinasihatkan supaya suami iaitu perayu di dalam kes ini menerima hakikat bahawa lafaz telah berlaku secara bain kubra dan wajar menerima ketentuan Ilahi ini dengan redha. Walaupun berat tetapi mahkamah ini menasihatkan supaya belajar mengenai hukum perkahwinan supaya menjamin rumahtangganya. Muslim dapat ditegakkan bukan hanya untuk nikah sahaja tetapi semua hukum-hukum yang terbit dari perkahwinan itu seperti bersekedudukan selepas bercerai tanpa rujuk yang sah, juga harus di ambil iktibar bahawa perbuatan itu menjejaskan akad nikah dan juga tidak sesuai sebagai rumahtangga muslim.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...