Isteri setia akhirnya kecundang dek kata nista
Hampir 25 tahun Alia (bukan nama sebenar) 'berkhidmat' dan melayani suaminya. Anak tunggal yang telah kematian kedua ibu bapa terpaksa berpindah dari bandar Kuala Lumpur ke kampung halaman suami setelah suami terlibat dalam kemalangan jalan raya. Alia menjaga suaminya yang koma selama 6 bulan dan menanggung segala perbelanjaan rumahtangga, pendidikan anak-anak dari kecil hinggalah dewasa.
Setelah kemalangan, suaminya berubah sikap. Menjadi panas baran, meninggikan suara dan memanggil Alia dengan pelbagai gelaran, 'perempuan gila', 'ibu beruk' dan pelbagai kata nista. Merah padam muka Alia menahan malu apabila ditengking dan dimarahi dihadapan ahli keluarga suaminya. Terasa sungguh rendah maruahnya. Terasa diri tiada apa-apa. Semua kesedihan ditahan apabila memikirkan anak-anak yang masih kecil dan tiada siapa tempat mengadu. Permintaan Alia untuk berpindah ke rumah lain dihalang oleh ibu bapa suaminya dengan pelbagai alasan.
Sehinggalah tiba suatu hari, berlaku pertengkaran kerana Alia bertanyakan suaminya tentang nafkah diri dan anak-anaknya yang mula diabaikan oleh suami yang dikasihi. Akhirnya keluarlah kata-kata yang sangat mengguriskan hati Alia, 'Aku menyesal bernikah dengan kau. Selama ni memang aku langsung tak sayangkan kau. Aku simpan aje kau'.
Terjelepuk Alia di atas lantai. Menggigil. Menangis. Rasa nak meraung sekuat hati. Sampainya hati suaminya berkata sedemikian setelah 25 tahun Alia bersabar mempertahankan mahligai perkahwinan. Apa yang perlu dilakukan? Kenapa ini berlaku? Apa salah aku? Macam-macam persoalan menerjah fikiran Alia.
Kering sahaja wajah suaminya. Tiada rasa bersalah.
Sekelip mata rasa cinta seolah ditarik dari hati Alia terhadap suaminya. Sukar lagi untuk menatap wajah suaminya. Kebencian mula memenuhi segala ruang hatinya. Segala yang berlaku sepanjang tempoh perkahwinan bagaikan tayangan video yang berulang-ulang dimainkan tanpa henti. Setiap kali tayangan diulang, air matanya laju menitis. Hinggalah terasa tiada apa lagi yang tinggal. Dan kaki akan terus diatur melangkah pergi tanpa sesal.
Wahai suami, ketahuilah, lembutnya hati si isteri, sabar dan tabahnya si isteri bersamamu, andai disia-siakan hati yang lembut umpama kerak nasi boleh menjadi sekeras batu.