Thursday, 29 June 2017

Realiti 'Andainya Takdir' - 2

Shukri Yahaya (Airil), Puteri Balqis (Aleeya) dan Nina Iskandar, (Fatihah) teraju utama drama Andainya Takdir

#5

Bukan mudah untuk melakonkan watak Airil, Fatihah dan Balqis.

Gelodak emosi yang meruntun jiwa menjemput rasa simpati kepada mereka dan pada yang sama geram dan benci pun ada. Geram dan marah pada sikap Airil yang terlalu ganas dan tidak berperikemanusiaan. Geram dan marah pada sikap Fatihah yang masih 'buta cinta' dan masih sanggup membiarkan diri menderita. Tentunya ada yang masih mengharapkan Airil berubah, mengharapkan Fatihah terus bertahan demi mempertahankan rumahtangga yang dibina. Tak salah mengharap dan meletakkan harapan yang tinggi. Setiap kita ada kadar ketahanan diri menghadapi ujian Ilahi. Dan sungguh Allah tak uji kecuali kepada mereka yang mampu menghadapinya.

#6

Airil

Memang ramai lelaki begini. Tak mengenal usia dan pangkat. Ada kaunselor, ada yang ber'title'kan PHD, polis, tentera, professional, golongan tak bekerja, golongan yang berpendidikan dan kurang berpendidikan. Pendek kata, mereka berada di kalangan kita. Dan agak sukar untuk mengenali mereka kecuali isteri dan anak-anak yang hidup bersama. Ada di antara mereka yang sangat baik, lemah lembut, 'pijak semut pun tak mati' di hadapan keluarga dan rakan-rakan. Hanya mereka yang betul-betul rapat dan pernah hidup serumah sahaja yang mengenali insan-insan ini.

Dalam 'Andainya Takdir' ini, Airil mengetahui dan mengakui kelemahan dirinya. Cemburu buta, mendera isteri, sukar tahan marah. Tetapi tak ada pula ditunjukkan usaha-usaha untuk merawat 'penyakit'nya tu secara betul dan professional. Kalau setakat berjanji, berbuih mulut berjanji, ia pasti akan berulang. Kebanyakan kes kat luar ni, sang suami ni tak menyedari 'penyakit'nya. Mereka lah yang perfect, bagus, yang silap dan salah adalah isteri.

Saya suka juga membaca dan mengkaji sifat suami yang begini. Apabila berdepan dengan mereka, peguam juga adakala terpaksa bertindak sebagai kaunselor dan mengetahui kaedah-kaedah terbaik untuk menyelesaikan kes-kes mahkamah secara baik. Itu untuk kebaikan klien juga. Elakkan perbalahan semasa perceraian, kerana perjalanan hidup mereka masih panjang, apatah lagi jika mereka mempunyai anak-anak yang memerlukan kasih sayang keduanya.




"Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"


Persoalannya, Bagaimana untuk membantu Airil?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...